Search This Blog

Tuesday, July 5, 2011

Semoga semuanya dipermudahkan

Sepanjang 2 minggu selepas menerima IV Zometa, keadaan ku agak teruk sedikit. Mengharapkan sakit belakang ku akan hilang atau berkurangan dengan ubat itu, atas dasar mungkin sakit ku berpunca dari metastasis tulang, nampaknya ubat itu tak bersesuaian denganku. Selain daripada demam dan ruam pada hari pertama (mungkin reaksi allergik), sakit belakang aku bertambah-tambah, pedih ulu hati pun semakin menjadi-jadi, selepas mengambil ubat lain untuk mengurangkan sakit dan lain-lain aku tetiba jadi cepat penat dan sesak nafas.

Selepas berjumpa Dr Darren minggu lepas, aku diberi ubat tahan sakit yang lain dan kuat sedikit. Mulanya mengambil 1 tablet memberi kesan yang baik tapi sebagaimana arahan doktor untuk menambah doa ke 2 tablet nampaknya kurang sesuai untukku. Sangat pening dan muntah seharian, langsung tak boleh makan, hanya mengambil sedikit air glukos untuk tenaga. Sakit belakang memang banyak berkurangan tapi lemah badan sebab tak dapat makan. Jadi, terpaksalah mengambil 1 tablet walaupun sakitnya masih ada sedikit, biarlah daripada tidak dapat makan dan rasa pening seharian.

Hari ini, alhamdulillah semuanya kembali seperti biasa seperti masa aku mula-mula makan ubat yang Dr Darren beri. Pening yang kurang, tiada muntah, badan bertenaga, lebih positif untuk mendapat IV herceptin lagi Jumaat ini, InsyaAllah. Terimakasih kepada suami yang walaupun di kejauhan, sentiasa menelefon dan bertanya keadaan ku. Aku tak mahu terlalu memberikan berita yang kurang baik tentang aku supaya dia tidak terlalu risau. Tapi alhamdulillah, pasti dia lebih bersyukur kerana keluarga ku berdekatan untuk membantu menjaga ku. Hanya semangat dan perihatin yang aku perlukan walaupun amat mengharapkan fizikal juga tapi insyaAllah, akan berlaku. soon.

Hanya aku dapat berdoa semoga semuanya dipermudahkanNya.

Friday, July 1, 2011

Alone

Kelmarin aku ke klinik onkologi Hospital Likas untuk bertemu Dr Darren. Aku telah maklumkan kepada Dr Darren tentang keadaan sakit belakang yang semakin menjadi-jadi dan pernafasan ku yang semakin membimbangkan. Sejak aku mengambil dexamethasone pada hari sabtu lepas, awalnya keadaan agak baik kemudian aku mula rasa cepat penat hingga bercakap pun agak payah. Aku cuba untuk buat seperti biasa tapi keadaan memaksa aku terbaring dengan tercungap-cungap. Agak mengambil masa juga untuk menenangkan pernafasan kembali agak normal. Kesakitan belakang pun nampaknya tidak dapat dikurangkan dengan ubat tramal, dexamethasone yang aku sedang ambil, hanya untuk au dapat melelapkan mata sekejap. Pedih ulu hati pun sangat menyakitkan.

Perjalanan ke KK pun agak payah, nasib baiklah aku tak perlu memandu sendiri. Sesampai di klinik aku tersangat semput, mungkin juga sebab cuaca dan aircon yang amat sejuk di klinik.

Dr Darren nampaknya kurang optimistik dengan keadaan aku kali ini. Mungkin aku tak sesuai dengan rawatan IV Zometa. Mungkin aku tak perlu sambung dengan ubat itu. Mungkin aku terpaksa mengambil lagi kemoterapi kemungkinan dengan paclitaxol jika keadaan tidak berubah dan keputusan CT scan ulangan yang akan aku buat menunjukkan keadaan yang tidak responsif.

Kesemua kemungkinan yang amat menyedihkan dan melemahkan aku. Rasa tidak terdaya lagi bila memikirkan terpaksa mengharungi lagi kemoterapi. Rasanya tidak cukup kuat sudah diri ini fizikal dan mental untuk menjalani kemoterapi yang lebih kuat. Semalam berat aku 47kg...sudah 16kg semuanya berat badan yang hilang. Entah apa lagi yang tinggal.

Apa lagi yang aku boleh buat untuk memdapatkan kekuatan menghadapi semua ini. Terasa seperti seorang-orang menghadapi keadaaan ini. Walaupun ada kata-kata, tapi jauh di dalam hati ini, I am Alone.