Search This Blog

Sunday, April 24, 2011

Aku dan kemoterapi

Kemoterapi adalah perkataan yang diambil dari perkataan bahasa Inggeris, "chemotherapy" yang bermaksud rawatan ubatan untuk kanser secara umumnya. Ubat yang digunakan dalam rawatan kemo berfungsi untuk membunuh sel-sel kanser yang aktif, dalam masa yang sama membunuh sel-sel normal dalam badan yang aktif seperti sum-sum tulang dan akar rambut.

Kesan samping akibat ubat kemo ini bergantung kepada individu dan kebanyakannya kesan seperti muntah, letih, hilang selera makan, rambut gugur dan kesan pada profil darah seperti anemia, sel darah putih menurun.

Pengalaman pertamaku dengan kemoterapi ini pada tahun 2008, sebulan selepas aku menjalani pembedahan untuk membuang payudara. Agak menakutkan juga kerana tak tahu apa yang bakal berlaku. Aku disarankan menerima regim yang terdiri daripada 3 ubatan iaitu 5-Fluorouracil, Epirubicin dan Cyclophosphamide untuk 6 kitaran setiap 3 minggu. Keputusan biopsi juga menunjukkan 'Estrogen Receptor' adalah positive, 'Progesteron Receptor' negative dan HER positive2+. Rawatan Herceptin telah dibincangkan dan disebabkan faktor kewangan dan pada pendapat kami dan pakar, rawatan merupakan masih diperingkat kajian, maka rawatan dengan herceptin tidak diteruskan.

Aku mengambil kemoterapi di Pusat Rawatan Harian, unit onkologi dan radioterapi, Hospital UKM bermula jam 8 pagi dengan menunggu untuk pemeriksaan rutin seperti tekanaN darah, berat badan dan profil darah, kemudian menunggu keputusan dan giliran berjumpa doktor. Selepas itu barulah ubat kemo disediakan dan mula diberi. Semuanya berakhir dalam jam 2-3 petang. Di pusat rawatan ini, katil disediakan seperti dalam wad dan agak selesa juga. Semasa menunggu di bahagian menunggu inilah masanya kita dapat berkenal-kenalan dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain. Disinilah aku kenal dengan Pn Noraida Kamarudin, pengasas KanWork yang berpusat diUPM.

Selesai kemoterapi aku terus balik dan biasanya terasa letih dan mengantuk kesan dari ubat menahan muntah yang diberikan. Kadang- kadang muntah sedikit, selera makan agak kurang dalam tempoh seminggu selepas itu macam biasa. Kesan samping biasanya kuat dalam minggu pertama, minggu kedua selepas beberapa kitaran aku sudah boleh bekerja secara lokum untuk 4-6 jam. Rambut mula gugur masuk minggu ketiga kemoterapi yang pertama. Suami telah mencukur rambut sebelum ianya mula bertaburan dan menganggu. Jenis kemoterapi ini menyebabkan jari kuku menjadi sedikit kehitaman. Alhamdulillah, sepanjang rawatan aku tidak menghadapi apa-apa masalah dengan profil darah. Semuanya berjalan lancar.

Kemoterapi kali kedua bermula pada 28 Disember 2010, kali aku bermula dengan kesihatan yang kurang dengan batuk- batuk dan cepat penat disebabkab kanser yang sudah menyerang bahagian paru-paru. Aku diberikan ubat 'Docetaxel' untuk 6 kitaran setiap 3 minggu. Pertama kali diberikan di rawatan harian, unit onkologi dan radioterapi, Hospitall Wanita dan Kanak-Kanak, Likas, Kota Kinabalu, kesan sampingnya agak kuat. Dengan ubat yang diberi sebelum ubat kemo dan kombinasi ubat kemo, aku terasa sangat lemah, tak selesa rasa perut dengan sembelit, pedih ulu hati dan seribu rasa lagi..

Sepanjang 3 bulan lebih rawatan kemoterapi, 15 April 2011 adalah rawatan terakhir engan Docetaxel, berat badan ku menurun sebanyak 10 kg, sebenarnya aku telah mencapai berat badan ideal. Harap- harap ianya tidak menurun lagi. Selepas ini aku hanya akan menerima Herceptin untuk setiap 3 minggu untuk tempoh yang agak lama..

Alhamdulillah, rawatan kemo sudah habis.. Aku berharap selepas ini keadaan akan menjadi lebih baik..

5 comments: