Search This Blog

Wednesday, May 11, 2011

Apa orang kata?

Sebagai seorang doktor, aku pernah bertugas di wad-wad dan merawat pesakit-pesakit kanser. Di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, aku terlibat dalam menjaga pesakit-pesakit ini, kadang-kadang terlibat dalam menyedia dan memberikan ubat kemoterapi kepada pesakit ini. Melihat pesakit ini dan keluarga yang menjaga mereka, bila kita sendiri menjadi pesakit kanser, barulah kita dapat memahami sepenuhnya apa yang sebenarnya mereka alamai dan rasai.

Pertama kali aku didiagnos mendapat kanser payudara ini, semuanya tampak tenang kerana kelihatannya aku seperti sihat. Kebanyakan keluarga dan kawan tidak melihat aku semasa aku menerima kemoterapi kerana ketika itu aku di KL. Begitupun, mereka yang melihat aku pun tidak akan menjangka aku seorang pesakit kanser.

Ketika mendapat rawatan kali kedua, tahap kesihatanku sudah menurun. Berat badan menurun dengan berterusan dan cepat, suara semakin garau, semakin cepat penat. Aku gagahkan juga ke pekan untuk membeli keperluan diri. Sekali sekala aku terserempak dengan kawan-kawan yang juga sebahagian mereka pernah datang ke klinikku. Aku tahu ramai yang ingin tahu keadaan kesihatan ku dan aku pasti setiap orang akan berfikir, kematian adalah dekat bagi semua pesakit kanser. Ada juga aku mendapat cerita dari orang dan sampai kepada ibuku, kononnya aku sedang sakit teruk. Aku menghadiri perkahwinan saudara dan seperti aku nampak wajah terkejut saudara mara melihat kehadiranku yang berjalan, makan, melayan anak.

Ternyata bila sesorang dikaitkan dengan kanser, masyarakat akan menganggap kesihatan pesakit ditahap serius. Masyarakat hanya melihat kesakitan dan kesedihan menyelubungi sekitar kehidupan pesakit dan keluarga. Hanya keluarga dan mungkin kadang-kadang kawan dekat saja yang memberi kegembiraan dan cuba untuk mengurangkan kesedihan pesakit.

Kawan-kawan seperjuanganku banyak berkongsi cerita bersama tentang pengalaman mereka. Kami sentiasa bergelak ketawa semasa menerima rawatan masing-masing. Walaupun dalam waktu yang singkat, kesakitan akibat rawatan sepertinya hilang. Dan ubat terbaik bagiku adalah ketawa yang aku kongsi bersama keluarga...

No comments:

Post a Comment