Hari ini, 21 September 2010..bermula hari pertama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi anak sulung saya. Saya dan abahnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada dia dalam peperiksaan ini untuk mengurangkan situasi yang memberikan tekanan kepada anak dan juga kami. Mungkin kami bukan lah jenis ibubapa yang terlalu mendesak kecemerlangan anak-anak tetapi biarlah anak berusaha sedaya yang boleh dan termampu olehnya. Dulu-dulu ibubapa kita pun bukanlah terlalu mendesak kita mengulangkaji pelajaran, mengikuti kelas-kelas tuisyen dan kita menghadapi peperiksaan selepas berusaha yang terbaik.
Pada saya, UPSR adalah satu cara untuk kita menilai sejauh mana anak kita memahami cara pengajaran cikgu di sekolah, sebaik mana cikgu di sekolahnya menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya. Lagipun saya tidak berniat untuk menghantar anak saya memasuki sekolah berasrama penuh bila naik tingkatan satu nanti. Betul juga apa anak saya cakap, peperiksaan PMR dan SPM yang lebih penting dalam menentukan masa depan. Pandai pula dia mencari idea untuk menenangkan perasaan dan mengurangkan stress.
Apa-apa pun, saya berdoa semoga anak saya dapat menjawab soalan dengan baik.
Kali terakhir saya merasa ketegangan perasaan dan fikiran ketika menghadapi peperiksaan ini pada tahun lepas semasa mengambil kursus pendek 'Dermatology'. Dan terakhir kalinya saya menduduki peperiksaan sebelum itu adalah pada tahun 1996 apabila saya menduduki peperiksaan akhir Ijazah Perubatan di UKM. Dengan adanya peperiksaan, ianya memaksa kita untuk membaca dan memahami isi kandungan buku. Kalau tak ada peperiksaan, memang payah sangat nak membaca. Itulah konsep yang saya dapat semasa peperiksaan yang terakhir. Lulus atau gagal bukanlah keutamaan tetapi ilmu yang diperolehi.
Sekarang rasanya tidak ada lagi peperiksaan yang akan saya hadapi dalam tempoh terdekat ini. Tetapi bersediakah kita untuk menghadapi keputusan peperisaan hidup kita di dunia dan diumumkan di padang masyhar nanti..........betapa kurangnya lagi persediaan ini..
No comments:
Post a Comment